Wednesday 11 May 2016

Perniagaan “SKIM CEPAT KAYA” menghancurkan masa depanku... Bahagian 1

Assalamulaikum.. Selamat Petang..

Di sini ingin ku kongsikan sebuah kisah... sebenarnya banyak kali aku fikirkan tentang perkara ini. Aku benar-benar tidak mahu membuka aib orang lain. Tapi pabila kufikirkan kembali, aku benar-benar tak nak apa yang terjadi pada aku, terjadi kepada orang lain. Cerita ini bermula daripada entahlah nak cakap sebagai helah atau apa. Aku pernah bekerja disebuah syarikat yang dikenali sebagai “H”, tak perlu aku maklumkan nama penuhnya. Di situ aku mengenali seseorang yang bernama “I...”. Dari andaian dan pandangan aku yang pertama adalah dia seorang yang benar-benar menjaga solatnya, lembut-lembut dan baik orangnya. Dia duduk bersama mak ciknya di sekitar Bandar Kuantan. Rumah mak cik dan tempat kerja kami iaitu Syarikat H ini amat dekat, tidak sampai sepuluh minit pun. Malah, oleh kerana syarikat kami yang mempunyai tempat utuk solat, aku sudah beberapa kali mengikutinya balik ke rumah mak cik dan menumpang solat. Tapi perkenalan kami tidak lama. Di atas sebab-sebab tertentu, aku berhenti bekerja dari sana dan bermula bekerja di syarikat lain yang menawarkan gaji yang lebih baik dan aku dapat kembali kepada bidang yang aku minati iaitu akaun.

Tetapi beberapa bulan selepas itu, “’I” meminta aku mengambilnya di rumahnya yang jauhnya hampir 30 minit dari rumahku dan dia meminta aku menemaninya untuk bertemu seorang lelaki yang bernama “K”. Pada firasat aku, dia ingin berjumpa dekat pak we nya. Tapi kenapa sekarang baru dia menghubungiku. Di kala dia memerlukan pertolongan. Sedangkan sebelum ini tak pernah sekali pun dia menghubungiku. Aku ada sedikit ragu-ragu. Tapi apabila memikirkan seorang rakan inginkan pertolongan, aku mengikut sahaja dengan perancangannya. Aku mengambil dia di rumahnya dan membawanya ke satu hotel. Pada mulanya aku sedikit pelik, kenapa perlu berjumpa di hotel. Rupa-rupanya pak wenya adalah seorang ahli perniagaan cepat kaya yang dikenali sebagai GMJ4U. Jadi mereka ingin bertemu di sana atas urusan perniagaan bukanlah cinta. Di sinilah bermulanya detik hitam buat aku. Berulang kali aku memikirkan keadaan ini, betapa mudahnya aku terpedaya oleh seorang rakan, sebangsa denganku, Melayu. Melayu makan melayu.

Aku mengikuti seminar yang diadakan di sebuah Hotel terkemuka di Kuantan bersama “I”. Sepanjang mengikuti seminar itu aku dapat rasakan aku berminat kerana kata speaker aku tidak perlu mencari orang tetapi orang yang akan mencari aku. Bukan banyak perniagaan seperti ini. Selepas seminar tersebut, “K” menerangkan dengan lebih lanjut tentang perniagaan ini dan dia mengulangi sekali lagi yang perniagaan ini tidak perlu mencari orang. Aku tanya dia berkali-kali benarkah tidak perlu mencari orang kerana kataku aku tidak pandai bercakap atau berhadapan atau mempromosikan sesuatu dihadapan orang yang tidak kukenali. Kata “K”, betul yang perniagaan ini tidak perlu mencari orang atau menjual barang. Aku pastikan juga perkara ini dengan rakanku “I” dan dia mengiakan kata-kata “K” dan dia juga ada memaklumkan aku yang dia telah berjaya mengaut keuntungan dari perniagaan ini. Melihatkan kepada keluargaku yang tidak berapa senang, aku ingin sekali mengubah kehidupan ini dan pada pemikiranku jika dengan perniagaan ini aku dapat mengubah nasib dan kehidupan keluargaku. Ya, aku sanggup. Tetapi oleh kerana aku tidak mempunyai modal, “K” menyarankan aku untuk membuat pinjaman dengan AEON CREDIT atau EASY RHB. Tetapi disebabkan oleh aku baru sahaja bekerja di syarikat baru ini, pinjamanku dengan AEON CREDIT tidak diluluskan. Nak dijadikan cerita “K” menggesa “I”, dan “I” mengajak aku menemaninya . Dengan keizinan Allah, segala urusan di EASY RHB saya mudah buat aku dan “I”. Jika tidak silap pada perkiraan aku, segala urusan berjalan dengan lancer dan tidak sampai berapa jam kami telah dapat duit pinjaman. Setelah itu, “K” meminta kami berdua segera memasukkan duit tersebut kedapat akaun beliau. Malah, betapa baiknya hati aku, aku telah meminjamkan kepada “I” beberapa ribu dan sampai kini beliau belum mebayarnya langsung. Semua ini berlaku di sekitar bulan 8 tahun 2015.


                                                                                                                                To be continued.......